Vaksin untuk sektor pembinaan bermula 1 Julai

Pemberian vaksin untuk sektor pembinaan akan bermula pada 1 Julai ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, program yang akan diselaraskan dengan Kementerian Kerja Raya itu memfokuskan tapak binaan dan projek perkhidmatan perlu yang masih beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Satu lagi sektor penting bagi ekonomi adalah sektor pembinaan yang kita akan mulakan program vaksinasi pada 1 Julai ini,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong selepas mengadakan sesi lawatan tapak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sektor pengangkutan (Maritim) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Khairy berkata, program vaksinasi sektor ekonomi juga akan diperluaskan ke industri lain termasuk perladangan dan komoditi dalam masa terdekat.

“Ketika PKP, sektor ini antara yang terus beroperasi dan kita akan bawa vaksin kepada mereka,” katanya sambil menegaskan semua sasaran yang ditetapkan perlu bergantung kepada bekalan yang diterima.

Sementara itu, Wee berkata, program vaksinasi bagi sektor pengangkutan darat dijangka selesai pada penghujung Julai selepas bekalan vaksin lebih banyak diterima bermula awal bulan depan.

Katanya, ketika ini kementerian bersama pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyelaras program vaksinasi untuk sektor pengangkutan darat.

“Program vaksinasi itu akan membabitkan pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) seperti Foodpanda dan Grab membabitkan kira-kira 355,064 orang di seluruh negara.

“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut,” katanya.

Wee berkata, program pemberian vaksin sektor pengangkutan akan diteruskan melibatkan sektor pengangkutan udara bermula 5 Julai di Bangunan Terminal Utama KLIA melibatkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo.

Manakala, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, tujuh PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Wee berkata, program pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan meliputi maritim, udara dan darat akan diperluaskan ke wilayah utara, Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat.

“Ia bagi memastikan semua yang terlibat dalam rantaian sektor berkenaan menerima vaksin secepat mungkin memandangkan industri pengangkutan adalah perkhidmatan perlu yang terus beroperasi 24 jam dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.”

Seramai 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan menjadi penerima terawal dalam program pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan meliputi maritim, udara dan darat yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sektor pengangkutan (Maritim) di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.

Program vaksinasi industri maritim di wilayah tengah dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dengan kapasiti 1,000 dos suntikan sehari.

Seramai 18,596 orang atau 53% penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah layak menerima vaksin bagi fasa pertama ini.

Untuk rekod, keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan di seluruh negara adalah seramai 59,155 orang.