VERDON BERUNDUR DARI SABAH FC

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC) Datuk Verdon Bahanda hari ini mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan semua tanggungjawabnya dalam kelab bola sepak itu.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah pertemuan dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam.

Ujarnya, SAFA kini dalam proses merombak kepimpinan dalam persatuan itu dan Sabah FC.

“Dalam pertemuan tersebut, saya dimaklumkan SAFA akan membayar balik semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan,”  jelas ahli perniagaan itu lagi.

Bagaimanapun, Verdon berkata beliau hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak kepentingannya dalam Sabah FC kepada SAFA dan peletakan jawatan selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan berkenaan.

Verdon berkata walaupun beliau pemilik terbesar dalam Sabah FC iaitu mempunyai pegangan sebanyak 70 peratus berbanding SAFA memiliki 30 peratus, beliau masih perlu mendapatkan mandat daripada semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC untuk membuat keputusan kritikal dan besar.

Beliau berkata semua usaha dilakukannya ketika bersama Sabah FC adalah usaha membaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian keputusan dibuatnya di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan sebelum ini.

Verdon turut memohon maaf kepada pemain dan penyokong Sabah FC kerana terpaksa meninggalkan pasukan itu terlalu awal, selain meminta maaf terhadap segala kesilapan yang dilakukannya ketika mengendalikan  Sabah FC.

“Anda adalah permata yang cukup berharga dan saya percaya anda semua akan terus menabur bakti kepada pasukan Sabah tercinta kita. Janganlah jadikan kemelut dalaman pengurusan ini sebagai batu halangan untuk anda mencapai kejayaan,” katanya.