SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, mendakwa penyebaran video dakwaan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, baru-baru ini adalah usaha pembangkang selepas kegagalan Langkah Kinabalu pada awal 2023.
Beliau berkata, usaha terbaharu pembangkang itu adalah cubaan membunuh karakter wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mereka gagal menjatuhkan kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu sebelum ini.
Jelasnya, rakaman video yang disebarkan menggunakan individu tertentu baru-baru ini bukan saja satu usaha menggulingkan kerajaan GRS, malah wujud dendam yang sudah lama dirancang oleh pemimpin pembangkang di Sabah.
Beliau mendakwa, kumpulan yang mendalangi ‘Langkah Kinabalu’ sebelum ini cuba menebus kekecewaan mereka selepas gagal menguasai kerajaan Sabah melalui ‘pintu belakang’.
“Mereka sentiasa berusaha menggunakan pelbagai propaganda termasuk taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat Sabah supaya membenci kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Mereka menyedari pengaruh parti mereka semakin susut selepas tewas menerusi siri pilihanraya yang lalu, kerana itu mereka merancang pelbagai konspirasi negatif untuk kembali berkuasa,” katanya dalam saty kenyataan, di sini.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut mendakwa, kumpulan yang mendalangi Langkah Kinabalu pada 2023 adalah dalang media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video hasutan jahat membabitkan lapan wakil rakyat GRS, baru-baru ini.
Beliau yakin akan ada lagi usaha dan dendam kumpulan pembangkang itu untuk menghasut rakyat Sabah menjelang Pilihanraya Umum Negeri Ke-17 (PRN17) tahun ini.
“Kita tengoklah apa lagi onar yang bakal mereka buat, kita percaya mereka kini sedang merancang agenda untuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan Belanjawan Kerajaan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada 15 November lalu jelas memberi tamparan hebat kepada kumpulan pembangkang di Sabah.
Katanya, belanjawan berjumlah RM6.421 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri yang menawarkan pelbagai inisiatif baharu kepada rakyat tidak pernah dilakukan mana-mana gabungan parti yang menjadi kerajaan negeri sebelum ini. – Info X
More Stories
KUSKOP salur RM346.28 juta pembiayaan PMKS dan koperasi di Negeri Sembilan pada tahun 2024
Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat tunda
Agensi di bawah KUSKOP bantu usahawan terjejas banjir di Sabah, Sarawak