SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak dan petrol selepas menahan dua kenderaan yang parkir di tepi jalan Kampung Pukat, Jalan Bokara, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan Unit Risikan Marin turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, ketika menjalankan Ops Taring Landai Khas Kontraban menahan dua kenderaan di tepi jalan kampung berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu menemukan sebanyak 146 kotak yang mengandungi 2,482 paket minyak masak bersubsidi dan 300 liter minyak petrol.
“Ketika pemeriksaan dijalankan beberapa kotak minyak masa juga ditemui di Jeti Jambatan 4, Kampung Pukat, Jalan Bokara, disyaki cuba untuk dibawa melalui jalan laut.

“Pemeriksaan lanjut turut menahan seorang lelaki. Kita percaya semua barang rampasan berkenaan cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek bersama semua barang kawalan dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM146,717 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan dan rampasan itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional