VK LIEW AKAN BUAT LAPORAN POLIS BERHUBUNG DAKWAAN LDP

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong (gambar) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan oleh pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) yang mendakwa beliau mengeluarkan RM1.01 juta daripada parti itu semasa beliau menjadi presiden parti berkenaan.

Katanya beliau menerima dua afidavit bertarikh 16 Ogos, di mana Presiden LDP Datuk Chin Su Phin dan bendahari Fong Keng Sin mendakwa menteri yang bertanggungjawab dalam soal berkaitan undang-undang itu telah menandatangani dua cek pada awal Mei 2013.

“Saya dimaklumkan menerusi dua afidavit yang difail oleh Datuk Chin dan Fong yang mengatakan bahawa dua cek yang dikeluarkan pada 2 Mei 2013 dan 3 Mei 2013 telah ditunaikan dan digunakan (dibelanjakan) oleh saya.

“Ini adalah fitnah dan mereka memberikan kenyataan yang palsu dalam afidavit itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis lawatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di Kompleks Mahkamah Sandakan di sini hari ini.

Liew berkata cek pertama bertarikh 2 Mei 2013 adalah bagi jumlah RM910,000 manakala cek kedua dikeluarkan bagi jumlah RM100,000.

Liew berkata beliau tidak menandatangani kedua-dua cek itu, dan beliau mempunyai salinan setiap cek berkenaan, yang memang tidak tertera tanda tangannya.

“Pada masa itu hanya ada satu tandatangan mandatori (dalam mengeluarkan cek bank) dan ia adalah Fong.

“Cek yang didakwa mereka itu mempunyai tanda tangan Fong dan ada dua lagi tanda tangan, satu oleh Chin dan satu lagi oleh Datuk Teo Chee Kang yang merupakan setiausaha agung parti ketika itu,” katanya.

Liew adalah presiden parti LDP dari 2006-2014, yang meninggalkan parti itu pada 2018 sebelum menyertai Parti Warisan Sabah sebagai pengerusi tetap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *