Wanita bersama bayi dalam kandungan maut terjun bangunan

LAHAD DATU: Seorang wanita bersama bayi yang dikandungnya berusia lapan bulan maut selepas wanita itu terjun dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu, di sini, semalam.

Usaha untuk menyelamatkan bayi oleh pihak hospital gagal selepas didapati bayi terbabit disahkan meninggal dunia dalam kandungan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang mengandung 33 minggu dihantar oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan di Kecemasan Hospital Lahad Datu, selepas mangsa bertindak agresif.

Katanya, mangsa kemudian dimasukan ke wad untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

“Semalam ketika di wad, mangsa dikatakan cuba untuk terjun dari tingkap wad di tingkat tiga namun tindakan mangsa dapat dihalang oleh jururawat bertugas.

“Mangsa diberi rawatan dengan tangan diikat disebabkan mangsa bertindak agresif. Pada 6.30 petang semalam, ikatan pada tangan mangsa dibuka selepas dia diberi ubat penenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, pada 7.20 malam hari yang sama, jururawat bertugas mendapati mangsa tiada dikatil lalu membuat pemeriksaan dan menemukan mangsa terbaring di atas rumput tingkat bawah.

“Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Mangsa seterusnya melalui pembedahan untuk menyelamatkan kandungan 33 minggu namun bayi disahkan meninggal dunia dalam kandungan.

“Mangsa dimasukkan ke Wad unit rawatan rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

Menurutnya, susulan siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah ditemui ke atas kematian mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata penduduk di daerah ini supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tanggapan yang negatif ke atas kejadian yang menimpa mangsa. – Info X