Hajah Aminah Johan
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah mahu dilibatkan dalam dasar membuat keputusan dalam apa juga tindakan di peringkat bahagian, Negeri dan Pusat.
Penolong Setiausaha Wanita UMNO Sabah, Hajah Aminah Johan berkata, pergerakan itu juga mahu dilibatkan dalam pembentukan Autonomi Sabah.
“Apa yang kita kecapi hari ini adalah usaha pemimpin UMNO terdahulu. Tetapi kita yang ada hari ini akan memberikan khidmat yang lebih baik,” katanya, mewakili Wanita UMNO Sabah membahas ucapan dasar pengerusi UMNO Sabah pada Konvensyen UMNO Sabah, disini kelmarin.
Aninah, yang juga Ketua Wanita Bahagian Kinabatangan berkata, UMNO Sabah kini sedang dikemudi oleh pejuang yang benar-benar rela berkorban dan berkhidmat kepada parti keramat ini.
“Apa yang bakal dilaksanakan bukan sahaja untuk kita tetapi untuk semua. Seperti apa yang kita lakukan untuk penyatuan ummah. Gabungan dua parti terbesar telah termetrai piagam atas dasar Muafakat Nasional.
“Wanita UMNO menolok usaha mana-mana pihak yang ada niat menghasut rakyat dan kesepaduan rakyat pribumi negeri ini,” katanya.
Aminah berkata, pada 20 September 2019, Wanita UMNO Sabah mengadakan Retreat Wanita dan Jalinan Rakyat dalam rangka lawatan kerja Kembara Jalinan Rakyat yang disediakan Wanita UMNO Malaysia.
Katanya, initipati program itu antara lain mencari mencari resolusi terhadap penambah-baikan gerak kerja Wanita dengan mengambil kira sumber kewangan yang terhad dan sosiologi masyarakat di setiap bahagian.
Katanya, selain kesetiaan, hebatnya UMNO Sabah terletak pada hebatnya jentera parti yang ada, yang didominasi oleh Wanita UMNO.
“Atas tanggungjawab itulah, kami sedar, perlu untuk kami, Wanita UMNO mencari resolusi terhadap kelemahan yang ada.
Resolusi ini akan kami berikan kepada pucuk pimpinan Negeri dan Pusat untuk dipersetujui bahawa inilah dia, formula terbaik bagaimana untuk kita membina semula UMNO Sabah dengan nafas yang baru, dan sekali gus diangkat sebagai gerak kerja inklusif oleh UMNO Bahagian.
Kerana, Wanita UMNO tidak mahu kerja siuk sendiri dan tidak mahu melawan arus. Tetapi dalam masa yang sama, Wanita UMNO memerlukan sokongan dan kerjasama jentera yang lain,” katanya.
Aminah berkata, dalam persidangan perwakilan Wanita UMNO cawangan dan bahagian yang lepas, antara lain usul yang dikemukakan adalah menyokong usul UMNO Negeri agar UMNO Sabah ini diberi kuasa Autonomi dan dimasukkan dalam Perlembagaan UMNO untuk memperkasakan kepimpinan negeri, dan memperjuangkan hak pribumi, serta kepentingan negeri dengan lebih efektif.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius