Warga asing kena tahan bersama kereta kancil curi. Kejadian di Lahad Datu

Seorang remaja lelaki warga asing didapati memandu kereta curi ketika ditahan untuk pemeriksaan di Kampung Lok Buani, Tanjung Labian, di sini,semalam.

Remaja berusia 16 tahun terbabit ditahan selepas terserempak dengan anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira jam 10 malam.

Rondaan Op Benteng Covid-19 itu dijalankan atas arahan Pegawai Pemerintah Batalion 17 PGA, Superintendan Rajab Ahad Ismail.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, suspek ditahan selepas dilihat memandu seorang diri dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah selain membuat pengakuan ada mengambil dadah.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kenderaan yang digunakan pernah dimuatnaik di laman Facebook ‘Lahad Datu Info’ sebagai kereta hilang.

“Suspek terus ditahan manakala kenderaan berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek turut dirujuk ke Klinik Desa Kencana untuk ujian saringan Covid-19 namun keputusannya disahkan negatif.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Asia Times