Sejak tiga hari lalu, warga asing dari beberapa negara menerima emel dari kedutaan mereka di Malaysia, yang memaklumkan mereka hanya mempunyai masa sehingga 21 April untuk meninggalkan negara ini tanpa didenda atau ditahan.
Tarikh tamat itu berdasarkan tempoh penangguhan kerajaan Malaysia untuk warga asing yang memegang pas lawatan sosial tamat pada tahun lepas susulan terkandas akibat sekatan kawalan pergerakan.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 31 Mac, menjadikan 21 April sebagai tarikh akhir bagi tempoh penangguhan 14 hari itu. Walaupun PKP dilanjutkan hingga 14 April, kerajaan belum mengumumkan tempoh penangguhan itu diperbaharui, memaksa beberapa kedutaan asing untuk memberi amaran kepada rakyat mereka bahawa mereka mungkin mempunyai kurang dari dua minggu sebagai persiapan untuk meninggalkan, atau kekal (di negara ini) dan berdepan akibat.
Pada 7 April, warganegara Amerika Syarikat (AS) di Malaysia mula menerima emel dari program pendaftaran pengembara yang dijalankan Jabatan Negara AS mengenai tempoh penangguhan yang bakal tamat itu.
“Pihak berkuasa Malaysia tidak menunjukkan tempoh itu telah dilanjutkan,” menurut emel itu. “Warganegara AS di Malaysia yang memegang pas lawatan sosial yang sudah tamat tempoh perlu bersedia untuk meninggalkan Malaysia sebelum 21 April.”
Emel itu menyebut mereka yang kekal atau cuba meninggalkan negara ini selepas 31 April boleh dikenakan hukuman yang ketat, termasuk penahanan imigresen dan denda.
FMT difahamkan, sekurang-kurangnya tiga kedutaan diplomatik yang lain telah menghubungi warganegara mereka.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ