Warga emas diculik terjun dari kereta. Kejadian di Cyber City

Seorang wanita berusia 60 tahun berdepan detik cemas selepas dilarikan dua penjenayah sebelum disamun dalam kejadian di Cyber City, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dikatakan baru masuk ke dalam keretanya selepas selesai membeli barangan di kedai serbaneka 99 Speedmart.

Bagaimanapun, seorang lelaki tiba-tiba masuk ke kenderaannya dari pintu penumpang belakang sebelum mengarahkan mangsa berpindah ke tempat duduk belakang.

Seorang lagi lelaki kemudiannya masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kenderaan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, semasa berada di dalam kenderaan, mangsa dipaksa  duduk secara menunduk sepanjang jalan sehingga mangsa tidak tahu lokasi perjalanan mereka.

Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang tunai selain barang kemas yang dipakainya.

“Mangsa yang bimbang keselamatannya terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek.

“Mangsa mendakwa, selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana sakit belakang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

George berkata, sebaik diberikan kebenaran duduk, mangsa mengambil keputusan untuk membuka pintu sebelum terjun keluar daripada kenderaannya.

Katanya, mangsa kemudiannya diselamatkan orang ramai di lokasi sebelum dibawa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM17,000,” katanya.

George berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397A Kanun Keseksaam kerana samun secara berkumpulan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmar Zulfairie Ismail di talian 013-2618487. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *