Warga emas maut dalam kemalangan

KINABATANGAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di jalan Kampung Segaliud, di sini, petang tadi.

Mangsa Jumali Buhari, 62, yang tersepit di dalam kereta jenis Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.48 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian sebaik selesai kes kebakaran mesin di Kilang Segama Paris 2, Jalan Kinabatangan – Lahad Datu.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Kancil. Terdapat tiga mangsa yang terbabit.

“Dua mangsa lelaki berusia 19 dan 24 tahun dalam Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Perodua Kancil tersepit dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemalangan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada 5.31 petang,” katanya. – Info X