BN,GRS,komponen PH dijemput ke Himpunan Perdana Rakyat PKR Sabah di SICC Ahad ini

KOTA KINABALU: PKR Sabah mengalu-alukan kehadiran pemimpin dan ahli parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan serta orang ramai ke Himpunan Perdana Rakyat yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Ahad ini.

Setiausahanya, Sazalye Donol Abdullah, berkata selain ahli PKR, himpunan yang julung kali dianjurkan parti itu di Sabah juga terbuka kepada ahli parti lain termasuk dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya sebagai Setiausaha KEADILAN Sabah merangkap Pengerusi Penganjur dalam majlis Himpunan Perdana Rakyat ingin menjemput semua ahli PKR Sabah, ahli PH Sabah, ahli GRS, ahli BN serta semua ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan serta orang awam bagi memeriahkan majlis tersebut.

“Pada masa itu, ada beberapa ‘booth’ jualan disediakan untuk kemudahan bagi mereka yang ingin membeli baju parti dan lain-lain serta 500 kad sim akan diberikan secara percuma kepada pengunjung oleh syarikat RedOne/BeOne.

“Kami kepemimpinan PKR Sabah akan menanti kehadiran anda semua pada majlis tersebut untuk mendengar amanat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, majlis berkenaan yang dijadual bermula jam 8 pagi diisi pidato berkaitan pelbagai isu semasa yang akan disampaikan pemimpin PKR dengan kemuncaknya Pidato Perdana yang akan disampaikan Perdana Menteri selaku Presiden PKR.

Katanya, persiapan bagi penganjuran himpunan itu sedang giat dijalankan dan dijangka mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan maklum balas positif ahli PKR yang bakal menghadirinya.

“Majlis itu julung-julung kali diadakan selepas pertukaran kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN). Daripada pengamatan saya sehingga hari ini didapati sambutan ahli parti mahupun orang awam terhadap majlis yang akan diadakan ini adalah cukup baik.

“Kepimpinan PKR Sabah serta ahli-ahli parti di cabang-cabang juga telah kembali pulih iaitu bersatu semula. Ini boleh nampak dari sambutan ahli-ahli parti di cabang-cabang cukup baik dengan penghantaran penyertaan menggalakkan ke urusetia,” katanya. – Info X