WARGA FILIPINA CURI KULIT KAYU TANGAR DI HUTAN SIMPAN TERUSAN DICEKUP

SANDAKAN:  Tindakan berani dua lelaki warga Filipina menceroboh negara ini untuk mencuri kulit kayu tangar di Hutan Simpan Terusan, Kinabatangan sejak kira-kira seminggu lalu akhirnya dicekup Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan dan Jabatan Perhutanan Sabah semalam.

Pegawai Pemerintahnya Supt Toipi Lamat berkata saspek berumur 55 dan 34 tahun itu, yang ditahan kira-kira 7.30 pagi, mengakui memasuki negara dari Pulau Kagayan, Filipina dengan menaiki bot bersama empat orang lain.

“Saspek dihantar menyelusuri sungai paya bakau di hutan simpan berkenaan dan kemudian, bot kembali semula ke Filipina meninggalkan suspek.

“Saspek memberitahu mereka telah diupah untuk mengambil kulit kayu tangar dengan kadar 12 peso sekilo,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Toipi berkata turut dirampas adalah empat ikatan kulit kayu tangar dengan anggaran berat keseluruhan 200kg, dua bilah kapak, dua bilah parang, sebatang penceduk tanah dan alat untuk mengupas kulit kayu tangar.

Beliau berkata empat khemah turut ditemukan dan dimusnahkan oleh pegawai Stesen Kulamba, Jabatan Perhutanan Sabah.

Saspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sandakan untuk tindakan lanjut, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *