Warisan sukar menang banyak kerusi sekiranya tidak bergabung dengan parti lain

KOTA KINABALU, 25 April – Parti Warisan akan menghadapi kesukaran untuk memenangi banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang sekiranya tidak bergabung dengan mana-mana parti, khususnya di Sabah.

Menurut seorang penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi, Warisan akan mengalami kesukaran untuk memenangi banyak kerusi sekiranya bergerak secara sendirian kerana musuhnya di Sabah akan memastikan mereka kalah teruk.

“Warisan mempunyai banyak musuh di Sabah sehingga mereka boleh mengalami kekalahan teruk jika bergerak sendiri.

“Selain itu, Warisan juga cuba menunjukkan kekuatan dengan melebarkan sayap di Semenanjung yang menyebabkan parti ini kurang fokus di Sabah kerana terlalu mengejar kerusi di Semenanjung,” katanya ketika diwawancara pemberita.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut berpendapat bahawa Warisan akan berdepan kesukaran jika tidak bekerjasama dengan parti atau pakatan politik lain.

Bagaimanapun katanya, dalam PRU akan datang sudah pasti parti tersebut ingin menang untuk membentuk kerajaan namun agak mustahil untuk mencapainya jika bersandar kepada satu parti sahaja.

“Seperti sebelum ini, kerjasama politik pasti berlaku. Dalam kes Warisan, ia pasti mencari dan membentuk kerjasama strategik dengan mana-mana pakatan politik sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Warisan bertindak menerima dua bekas wakil DAP menyebabkan hubungan dua parti itu semakin buruk, begitu juga tindakan Warisan bertanding di kawasan PH pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.

Menurut, Awang Azman tindakan Warisan seolah-olah sengaja dilakukan bagi menimbulkan kemarahan PH supaya mereka boleh menjauhkan diri daripada gabungan berkenaan dan bertanding dalam blok sendiri.

“Perkara tersebut menunjukkan Warisan lebih bersedia untuk mencari gabungan lain selain PH untuk bekerjasama pada PRU akan datang,” katanya kepada pemberita.