Anwar menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR bukti pengaruh masih kuat.

KUALA LUMPUR, 29 April – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan bahawa peranan beliau masih diperlukan untuk terus mengemudi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun terdapat desakan luar agar Anwar, yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH), melepaskan jawatan susulan prestasi tidak memberangsangkan PKR dan PH dalam Pilihan Raya Negeri Melaka serta Johor namun kredibiliti dan kepimpinan anak jati Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu masih ditagih anggota akar umbi.

Penganalisis politik yang melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sudah dijangka turut menyifatkan, faktor kemenangan tanpa bertanding Anwar turut didorong oleh peranannya sebagai ejen penyatuan dalam kalangan komponen PH selain ketiadaan calon yang boleh menggantikan beliau.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, pengaruh kuat yang dimiliki Anwar dalam PKR membolehkan figura politik itu kekal menerajui kepimpinan parti sehingga 2025.

“Kemenangan Anwar sebagai Presiden tanpa bertanding sememangnya sudah dijangka dan sekiranya dinilai kemenangan itu daripada persaingan politik semasa, figura Anwar masih tidak berjaya menjadi momentum yang mampu meraih sokongan kepada PKR.

“Selain itu, bagi saya dengan tiadanya pencabar, ia menunjukkan mereka mahu mengekalkan status quo dengan kebergantungan kepada Anwar adalah masih lagi tinggi,” katanya kepada Bernama.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi Presiden bagi tempoh 2022-2025 pada pemilihan PKR 2022 oleh Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 12 April lepas.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpandangan, kepimpinan Anwar bukan sahaja diharapkan untuk membawa PKR malah PH ke satu tahap yang lebih baik.

“Peranan Anwar masih amat diperlukan untuk PKR dan PH dalam mendepani PRU15 dan beliau adalah pemimpin yang amat diharapkan. Justeru itu, kemenangan jawatan Presiden menggambarkan kredibiliti beliau untuk terus memimpin masih ditagih selain PKR masih tiada calon yang boleh menggantikannya,” kata beliau.

Selain jawatan nombor satu parti, pemilihan PKR kali ini menarik perhatian penganalisis berkaitan jawatan nombor dua iaitu Timbalan Presiden yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Naib Presiden Rafizi Ramli dan Saifuddin serta perebutan membabitkan 18 calon bagi jawatan Naib Presiden.

Menyentuh saingan yang dijangka sengit bagi jawatan Timbalan Presiden membabitkan dua calon berpengaruh itu, Che Hamdan berkata, kedua-dua tokoh memiliki kredibiliti dan populariti seimbang dalam PKR.

“Cuma saya melihat dua segmen yang berbeza iaitu Rafizi lebih popular dalam kalangan anak muda manakala Saifuddin dilihat berjaya menambat hati kelompok pertengahan yang menilai usaha beliau dalam menyatukan PKR selepas kejatuhan PH dan dikhianati pimpinan terdahulu.

“Bagaimanapun, peluang Rafizi agak cerah. Namun keghairahan beliau (untuk menang) mungkin memakan diri memandangkan setelah ‘lari’ daripada perjuangan selepas kalah dalam pemilihan yang lalu, ia telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan ahli PKR,” katanya.

Bagi Mohd Izani pula, beliau berpandangan, sekiranya kemenangan berpihak kepada Saifuddin, ia memberi isyarat bahawa perwakilan mahu gandingan mantap dijalinkan antara Anwar dan Saifuddin yang dilihat mempunyai banyak persamaan manakala jika sebaliknya, ia membawa makna perwakilan mahukan perubahan drastik dilakukan oleh PKR.

Pemilihan Timbalan Presiden bagi penggal 2022-2025 merupakan yang kedua ditandingi Rafizi, bekas Ahli Parlimen Pandan, selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2018.

Selain itu, kedua-dua penganalisis turut senada bahawa pemilihan kali ini memperlihatkan demokrasi apabila lebih ramai calon menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden yang hanya memperuntuk empat tempat.

Che Hamdan, yang menyifatkan perkara itu sebagai perkembangan positif bagi perancangan membentuk kelompok kepimpinan pelapis, berkata, sekiranya persaingan tersebut membentuk beberapa fraksi, ia mengambil masa lama selepas pemilihan untuk penyatuan semula sekali gus memberi kesan besar kepada parti menjelang PRU15.

Pandangan sama juga diutarakan Mohd Izani yang menyatakan, bahawa penyertaan ramai calon bagi merebut jawatan nombor tiga parti boleh ditafsirkan atau seolah turut menggambarkan berlakunya krisis dalaman.

Pengumuman rasmi calon yang menang dalam Majlis Pimpinan Pusat meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan diumum pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan PKR manakala bagi Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan akan diumum pada 24 Jun di kongres tahunan masing-masing.

–BERNAMA