Wisma Putra sahkan Muhammad Haziq antara 50 yang maut dalam kejadian tembakan di Christchurch

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Kementerian Luar Negeri telah mengesahkan bahawa Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra awal pagi ini berkata kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, juga akan berlepas ke Christchurch untuk mewakili kerajaan Malaysia dan untuk memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi berkenaan,” menurut kenyatan itu.

Bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu. Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

Kenyataan itu juga menyebut kementerian itu mengharapkan kefahaman pihak media dan orang ramai untuk menghormati perasaan anggota keluarga mangsa pada waktu-waktu yang sukar ini.

— BERNAMA



[ad_2]