KOTA KINABALU: Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, baru-baru ini, telah menfailkan tuntutan wang terhadap bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berjumlah RM872 juta yang dipercayai hilang daripada Yayasan Sabah disebabkan aktiviti pembalakan meragukan.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, dalam kenyataan, hari ini, berkata tuntutan terhadap Musa itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menerusi sistem e-filing pada 16 Jun lalu.
“Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah mempunyai sebab kukuh untuk mempercayai bahawa Yang Berhormat Tan Sri Musa Aman menggunakan jawatannya untuk mengarah anak syarikat Yayasan Sabah, iaitu Rakyat Berjaya Sdn Bhd bagi tujuan perniagaan balak. Butiran selanjutnya ada terkandung dalam tuntutan yang sudah difailkan.
“Dalam tuntutan mahkamah itu, kami telah menamakan beberapa penerima dan transaksi-transaksi melibatkan wang di dalam beberapa akaun luar persisir yang kami tuntut melalui proses perundangan,” katanya.
Jamalul berkata, Yayasan Sabah yang merupakan pemegang konsesi pembalakan terbesar di Sabah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk menjaga kebajikan sosio-ekonomi rakyat Sabah serta membantu pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Yang Berhormat Tan Sri Musa Aman gagal melaksanakan tanggungjawab ‘fiduciary’ untuk memelihara kepentingan Yayasan Sabah dalam peranannya sebagai pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah yang ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sabah,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK