Zii Jia tewaskan penyandang juara dunia

KOTA KINABALU, 17 Feb – Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berjaya menumpaskan penyandang juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura dengan merekodkan kemenangan 1-0, semalam.

Berdasarkan kemas kini di Twitter Persatuan Badminton Malaysia (BAM), keputusan bagi Kumpulan B yang dimainkan Zii Jia mencatatkan mata 21-6, 21-14 dalam aksi pertama menentang Kean Yew.

Kemenangan tersebut menempatkan beliau kini di kedudukan nombor tujuh dunia menyamakan kedudukan rekod pertemuan 3-2 dengan musuh zaman kanak-kanaknya itu.

“Sasaran tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasi saya, perlawanan ini mungkin satu daripada cara untuk menstabilkan emosi, saya cubalah apa-apa cara yang boleh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berjaya menumpaskan lawannya itu dalam persaingan Badminton Asia Tournament Championship 2022 (BATC2022) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, semalam.

Ini merupakan aksi pertama Zii Jia selepas kontroversinya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini yang dikatakan akibat prestasinya yang tidak konsisten sepanjang tahun lepas.

Dalam pada itu, selain Zii Jia, cabaran perseorangan negara turut digalas Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu pula, Malaysia diperkuatkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Cheah-Soh Wooi Yik, selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.