15 penagih, 2 tokan ditahan polis

POLIS menahan 15 penagih dadah termasuk dua tokan dalam serbuan di kebun kelapa sawit di Beruas, Manjung, semalam. FOTO ihsan polis.

Oleh: Cyn J.

MANJUNG, 22 Feb – Seramai 15 penagih dadah termasuk dua tokan (pengedar dadah) telah ditahan polis semasa menjalankan serbuan di kebun kelapa sawit yang menjadi sarang penagihan sejak tiga minggu lalu di Beruas, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, penagih akan masuk ke kawasan itu dua hingga tiga hari dan kemudiannya berpindah bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.

“Seorang penagih akan membuat tinjauan dahulu ke kawasan itu dan sekiranya kawasan itu selamat, dia (penagih) akan menghubungi pengedar untuk masuk ke dalam,” katanya.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan anggota Balai Polis Beruas dalam Ops Sarang Khas/Op Cegah Jenayah pada pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Hasil serbuan melaporkan sebanyak 317.60 gram (g) heroin, 20.22g syabu dan dua biji pil eramin 5 yang keseluruhannya bernilai RM13,168 serta beberapa peralatan menghisap barang terlarang itu telah dirampas.

“Kami menahan 15 lelaki berusia antara 21 hingga 61 tahun dan ujian awal saringan air kencing mendapati mereka positif morphine.

“Turut ditahan pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada penagih di kawasan itu, termasuk seorang berusia 38 tahun yang cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap,” jelas Nor Omar.

Siasatan lanjut melaporkan, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kompaun mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPN Fasa 4) iaitu aktiviti kehadiran ramai hingga tiada penjarakan fizikal.