PARIT BUNTAR, 23 Feb – Seorang lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam atas pertuduhan menikam seorang pemilik bengkel motosikal di Titi Serong, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, suspek berusia 52 tahun itu direman hingga 28 Februari ini bagi membantu siasatan.
“Mengenai dakwaan bahawa suspek memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara, pihak kami tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, Tan Hee Song, 43, ditikam di bengkelnya, dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.
Suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima, pada pukul 2.45 petang kelmarin.
Siasatan awal polis mendapati, punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa bertindak menukar beberapa komponen motosikal miliknya kira-kira tiga minggu lalu.
Suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
More Stories
Remaja ditemui tergantung di tiang besi
DBKK sita barangan penjaja, gagal kemuka lesen sah
Guna dokumen palsu kemuka tuntutan, pengarah operasi institut latihan didenda RM60,000