2 lelaki Pakistan ditahan disyaki rogol, samun wanita

SERDANG: Polis menahan dua lelaki warga Pakistan yang disyaki terlibat dengan jenayah samun dan rogol di sekitar jejantas di stesen KTM Serdang.

Ketua Polis Serdang A A Anbalagan berkata kedua-dua suspek ditahan di kawasan kaki lima kondominium Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan pada pukul 8.30 malam Isnin lepas.

Beliau berkata suspek pertama berumur 29 tahun disyaki menyamun seorang wanita di jejantas KTM Serdang pada 30 Dis lepas, manakala suspek kedua berumur 23 tahun disyaki menyamun dan merogol seorang wanita berumur 29 tahun di sekitar kawasan sama pada 14 Jan lepas.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di IPD Serdang, beliau berkata telefon mangsa juga dilarikan dalam kedua-dua kejadian.

“Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 392/397/376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan direman selama tujuh hari bermula semalam,” katanya.