390 PATI FILIPINA DIUSIR

SANDAKAN: Seramai 390 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, semalam.

Ia adalah pengusiran siri ke-22 melalui laut pada tahun ini membabitkan PATI Filipina dan Indonesia.

Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir sepanjang tahun ini adalah seramai 5,245 orang.

Menurutnya, semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dengan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung.

“Majlis Sabah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Filipina kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran berjalan lancar,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Sitti Saleha berkata, pada masa yang sama, seramai 57 rakyat Malaysia yang terkandas di Filipina bersama 18 pasangan mereka yang juga warga Filipina pulang ke Sabah dengan menaiki kapal dari Zamboanga.

Katanya, mereka terkandas sejak negara itu menguatkuasakan perintah berkurung pada 15 Mac lalu dan menaiki kapal menggunakan peruntukan kewangan sendiri.

“Proses kepulangan diuruskan oleh Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Davao City dan Kedutaan Besar Malaysia di Filipina.

“Kumpulan ini akan menjalani perintah kuarantin wajib di pusat kuarantin yang
telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sitti Saleha berkata, juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan prosedur ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, proses penerimaan mereka diselaraskan oleh MKN Sabah bersama kerajaan negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, polis, JKNS dan beberapa agensi lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *