623 Pati Filipina dihantar pulang

SANDAKAN: Seramai 623 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Pati, semalam.

Pemindahan Pati berkenaan adalah tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Sandakan, merangkumi pelbagai peringkat usia dari 11 bulan hingga 79 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua Pati itu dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Zamboanga City, Filipina.

“Mengikut pecahan lelaki dewasa seramai 483 orang, wanita dewasa (80 orang), kanak-kanak lelaki (35 orang) dan kanak-kanak perempuan (25 orang).

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama erat Kedutaan Republik Filipina yang telah mengeluarkan dokumen perjalanan kepada semua Pati terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sehingga kini, sejumlah 3,993 warga Filipina telah dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk negeri Sabah bagi tahun ini.

“Ia menjadikan keseluruhan Pati yang terbabit dalam program pemindahan tahanan kepada 4,834 orang.

“Semua Pati yang dipindahkan dipercayai telah melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, antaranya masuk tanpa pas atau permit sah dan tinggal lebih masa.

“Mereka telah menjalani hukuman penjara sebelum diproses untuk dihantar pulang setelah lengkap dengan dokumen perjalanan,” katanya.

Menurutnya, JIM Sabah turut menegaskan bahawa tahanan Pati akan disenarai hitam mengikut jenis kesalahan yang dilakukan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melanggar undang-undang imigresen.

“Tindakan pendakwaan juga akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

“Majikan digesa untuk mengambil pekerja asing melalui saluran sah yang ditetapkan oleh undang-undang,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negeri ini. – Info X