93.22 PERATUS KANAK-KANAK DI SABAH TELAH TERIMA VAKSIN POLIO

KOTA KINABALU: Seramai 795,437 atau 93.22 peratus kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di Sabah telah menerima vaksin bivalen oral Polio (bOPV) dos pertama melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) sehingga Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi berkata sejak kempen itu dilaksanakan Disember tahun lepas, jumlah berkenaan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.94 peratus atau 7,406 kanak-kanak yang menerima vaksin berkenaan dalam tempoh satu minggu.

“Bagi imunisasi bOPV dos kedua pula, setakat Rabu lepas bilangan kanak-kanak yang menerima vaksin berkenaan adalah seramai 730,807 orang iaitu liputan sebanyak 85.65 peratus daripada kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata JKNS menyasarkan liputan imunisasi pada tahap 95 peratus liputan bagi kanak-kanak 13 tahun ke bawah untuk memastikan imuniti kelompok bagi menyekat penularan jangkitan polio.

Dr Christina berkata setakat ini hanya tujuh daerah iaitu Ranau, Tambunan, Kuala Penyu, Beaufort, Kinabatangan, Kunak, dan Nabawan telah mencapai 95 peratus liputan kanak-kanak menerima vaksin polio.

“Wabak polio akan dapat ditamatkan apabila imuniti kelompok dicapai iaitu liputan imunisasi melebihi 95 peratus,” katanya.

Sabah merekodkan empat kes polio sejak Disember tahun lalu iaitu dua kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di daerah Tuaran dan Kinabatangan.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *