94 PATI WARGA INDONESIA DIUSIR

TAWAU: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diusir pulang menaiki feri dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia, hari ini.

Jumlah itu sekali gus menjadikan seramai 4,845 orang PATI diusir pulang ke negara asal sepanjang tahun ini membabitkan warga Indonesia dan Filipina.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata ia merupakan siri pengusiran ke-21 melalui laut tahun ini dengan semua tahanan menjalani saringan Covid-19 sebelum diusir.

Katanya, pengusiran itu berjalan dengan lancar hasil komitmen kerajaan Indonesia.

“Kita merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran berjalan lancar.

“Mereka menerima baik kepulangan rakyatnya walaupun negara itu masih mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sitti Saleha turut mengingatkan kepentingan peranan masyarakat dalam membantu usaha menangani masalah lambakan PATI di negeri ini.

Katanya, masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada majikan yang menggaji PATI, anggota penguatkuasa yang bersekongkol dalam membawa masuk PATI dan jika melihat PATI menyusup masuk ke sempadan negara.-http://beritasabah.com