BARANG KAWALAN BERNILAI RM10,000 DISITA DI MANGGATAL

KOTA KINABALU: Tindakan sebuah premis perniagaan memiliki barang kawalan melebihi daripada had yang dibenarkan terbongkar selepas premis itu di pekan Manggatal, di sini, diserbu pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, hari ini.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Taha Julai berkata, tindakan itu diambil ketika pegawai-pegawai KPDNHEP menjalankan pemeriksaan harian ke atas premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Manggatal.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah menyita beberapa barang kawalan.

“Hasil pemeriksaan itu, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah menyita 1,692 kilogram (kg) gula, minyak masak (1,156 kg) dan tepung gandum (1,249 kg).

“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM10,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Taha berkata, siasatan mendapati premis berkenaan adalah pemegang lesen runcit barang kawalan.

“Siasatan lanjut ke atas pemilik perniagaan berkenaan sedang dilakukan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang atau individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi syarikat denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.-http://beritasabah.com