APMM TAWAU TAHAN REMAJA CUBA SELUDUP 5.7 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI

Minyak masak bersubsidi yang dirampas APMM Tawau pada hari Khamis

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau telah menahan seorang remaja lelaki tempatan yang cuba menyeludup keluar 5.7 tan minyak masak bersubsidi kelmarin.

Remaja yang berumur 19 tahun itu sedang membawa sebuah jongkong ketika ditahan oleh bot ronda APMM 1.7 batu nautika dari Sungai Melayu dan hanya beberapa meter sebelum memasuki kawasan perairan negara jiran pada jam 5.30 petang.

Pemeriksaan terhadap jongkong telah menemukan 337 kotak minyak masak seberat 5,727 tan tanpa dokumen berkaitan dengan anggaran nilai RM 14,000 dalam ruang kargo, kata Timbalan Pengarah  (Operasi), APMM Zon Maritim Tawau, Komander  Mohd Yusri Hussin semasa sidang media hari ini.

Pihak kami juga merampas tiga enjin sangkut dan empat tong gas cecair petroleum (LPG) dan nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak dianggarkan RM 45,000, kata Mohd Yusri.

Menurut Mohd Yusri , jongkong bersama rampasan kemudian telah diiringi ke  jeti APMM Tawau untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kejayaan ini merupakan kedua terbesar direkodkan APMM membabitkan rampasan minyak masak bersubsidi sejak Januari tahun ini, katanya lagi.

Beliau meminta supaya masyarakat setempat terus membantu menyalurkan maklumat berhubung aktiviti seumpama untuk APMM mengambil tindakan.

TAMAT

Keterangan gambar