TAWAU: Dua orang penjenayah hutan telah dihukum penjara dan denda dalam dua kes berasingan di daerah Semporna ekoran serbuan yang dilakukan oleh kakitangan penguatkuasa Pejabat Perhutanan Daerah Semporna dengan bantuan dari Protect Team Jabatan Perhutanan Sabah.
Kes pertama melibatkan tertuduh Hildam Bin Tandangan, 40, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau Awang Kerisnada Mahmud.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan hutan dibawah seksyen 20 (2) Enakmen 1968 pada 9.11.2019 jam lebih kurang 12 tengahari di kawasan Hutan Simpan Mt Pock bersempadan dengan geran komunal.
Mengikut kertas pertuduhan, Hildam didakwa dengan niat mengangkat dan memindah kayu terubah dalam kawasan Hutan Simpan Mt Pock dan telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 20 (2) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 dan penjara tidak kurang dari satu tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh denda RM 50,000 atau 6 bulan penjara jika gagal membayar denda, penjara 1 tahun. Kesemua barang eksibit iaitu 1 unit chain saw dan 84 batang kayu terubah dilucut hak milik kepada kerajaan.
Tertuduh juga akan dirujuk kepada pihak Imigresen selepas menjalani hukuman. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan Alexius Pius.

Kes kedua melibatkan Madharun Bin Sampiun, 44, yang juga tidak ada dokumen pengenalan diri telah mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau Awang Kerisnada Mahmud.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan hutan seksyen 20 (2) Enakmen Hutan 1968 pada 11.11.2019 jam lebih kurang 2.30 petang di kawasan Hutan Simpan Timbun Mata Kelas 1.
Mengikut kertas pertuduhan, Madharun didakwa dengan niat, mengubah jadi (converting) kayu balak dalam kawasan Hutan Simpan Timbun Mata dan telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 20 (2) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 dan penjara tidak kurang dari satu tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun.Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 1 tahun dan denda sebanyak RM 50,000 atau penjara 6 bulan jika gagal membayar denda ke atas tertuduh, barang eksibit iaitu 1 unit chainsaw dilucut hak milik kepada kerajaan dan tertuduh juga akan dirujuk kepada pihak Imigresen setelah menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan Mohd. Arapa Lamuda.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK