PENCEROBOHAN MENGANCAM EKOSISTEM HUTAN BAKAU

Anggota Jabatan Perhutanan bersama tangkapan

PITAS: Empat orang telah ditangkap menebang dan mengambil kulit tangar dari Hutan Bakau di daerah Pitas dan Beluran.  

Walaubagaimanapun kesemua penceroboh ini bukanlah warga tempatan tetapi orang asing, PTI. Sebaik siasatan selesai mereka akan didakwa di mahkamah sebagai pengajaran kepada mereka yang ada keinginan menceroboh hutan bakau. 

Impak utama daripada tindakan pencerobohan ini boleh mengakibatkan pokok-pokok Bakau mati berdiri dan merosakkan hutan Bakau dan ekosistem akuatik yang sangat penting sebagai tempat pembiakan hidupan akuatik seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya.

Di samping itu Hutan Bakau yang tumbuh di persisiran pantai juga berfungsi sebagai zon penampan ombak besar atau Tsunami.

Empat orang pencuri kulit kayu Tangar berjaya ditangkap di dua lokasi berasingan di kawasan Hutan Simpan Bakau Sungai Sugut, Paitan , dan Jambongan dalam operasi  ” OPS TANGAR ” yang berlangsung selama 3 hari bermula  Nov 14 hingga 16  yang lepas.

Pada Nov 15, Pegawai Perhutanan Daerah Pitas bersama sepuluh orang anggota Jabatan Perhutanan telah membuat serbuan di Kawasan Hutan Simpan Bakau Paitan dan berjaya memberkas dua orang lelaki warga asing yang sedang memunggah kulit-kulit tangar ke dalam Bogo-bogo(boat).

Pemeriksaan di lokasi turut menjumpai beberapa longgokan kulit kayu Tangar yang dikupas dari pokok-pokok bakau secara haram.

Khemah haram untuk mengumpul kulit kayu tangar

Turut dijumpai ialah khemah, longgokan kulit tangar yang dianggarkan seberat 3,000 kg, 2 buah sampan kecil, pondok serta peralatan seperti parang dan kapak yang dipercayai digunakan untuk memotong pokok bakau.

Operasi hari kedua pada Nov 16, pasukan Jabatan Perhutanan diperkuatkan lagi dengan kehadiran bantuan 8 orang pasukan khas Tiger Platoon, PGA dari Batalion 20 Beluran.

Pada operasi hari kedua, di lokasi berasingan iaitu di Pulau Jambongan, telah berjaya mengesan dan memberkas dua(2) lagi saspek atas kesalahan yang sama. Turut ditemui ialah selonggokan kulit-kulit tangar dengan anggaran berat lebih 4,000kg yang telah siap dikumpul untuk dibawa keluar ke negara jiran untuk dipasarkan.

Jumlah keseluruhan kulit-kulit Tangar yang berjaya dirampas adalah lebih kurang tujuh hingga lapan tan dan dianggarkan mencecah nilai RM70,000 hingga RM80,000

Kulit kayu tangar yang dirampas oleh anggota Jabatan Perhutanan semasa serbuan

Operasi adalah terdiri dari Pasukan MCEE Kudat, Pejabat Perhutanan Pitas, Pejabat Perhutanan Kota Marudu, pasukan khas (Protect Team) Jabatan Perhutanan dan Pasukan Khas Tiger Platoon, PGA Batalion 20 Beluran.

Menurut Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini, kegiatan mengambil dan mencuri kulit tangar ini adalah satu perkara serius dan perlu dibendung. Akibat pengambilan kulit tangar akan menyebabkan dirian pokok bakau akan mati dan seterusnya dalam jangka panjang memberi kesan negatif ke atas Ekosistem Marin. 

Jenayah sebegini tambahan lagi ianya oleh orang asing yang memasuki negeri ini dan mencuri khazanah negeri perlu ditangani dengan cekap, katanya lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan khas PGA, Tiger Platoon yang telah memberikan bantuan sepenuhnya semasa operasi ini dilaksanakan.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Jabatan Perhutanan sekiranya menemui apa-apa jua aktiviti yang mencurigakan terutamanya di kawasan Hutan Bakau.