INGATKAN KUCING MASUK BILIK, RUPANYA BILIK TERBAKAR

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: “Saya ingat kucing masuk bilik, lepas itu saya lihat bilik terbakar,” kata Hani Aqilah Jasmi menceritakan saat dia menyedari rumah didiaminya di Taman Sepanggar, di sini, terbakar, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu turut memusnahkan dua lagi rumah teres di taman perumahan itu, namun tiada tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Hani, 15, berkata, sebelum kejadian dia seorang diri di dalam rumah dan baru hendak makan selepas balik daripada sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon.

“Saya baru sahaja sampai di rumah lalu pergi bilik untuk berehat. Lepas itu saya turun untuk makan namun terdengar bunyi barang jatuh.

“Saya ingat kucing masuk bilik, lepas itu saya lihat bilik terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Hani berkata, dia cuba untuk menyelamatkan barang milik keluarganya namun gagal kerana keadaan api yang cepat marak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.05 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

“Kebakaran memusnahkan tiga rumah, manakala sebuah rumah rosak dalam 30 peratus. Sebanyak tujuh rumah berjaya diselamatkan.

“Api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.21 petang,” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba.