Oleh Wartawan BS
4 Februari 2020
KOTA KINABALU: Seramai 2,659 orang ditahan kerana terbabit aktiviti dadah di daerah ini, sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata dalam tempoh berkenaan juga, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM658,807.
“Kesemua tangkapan dan rampasan itu ialah hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 140 orang ditahan atas kesalahan sebagai pembekal, 652 orang memiliki dan 1,857 orang penagih manakala 10 orang lagi Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Daripada jumlah itu juga, 135 orang berjaya dihadapkan kemuka pengadilan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Geogre Abd Rakman.

Habibi berkata, rampasan dadah sepanjang 2019 membabit dadah jenis syabu (9,586.97 gram), Ketamin (1,005.98 gram), ganja (2,068.63 gram), pil ecstasy (111.52 gram), serbuk ecstasy (1,911 gram) dan daun ketum (11,800 gram).
“Semua nilai dadah yang dirampas ini adalah berjumlah RM658,807.
“Usaha membendung mahupun membanteras isu dadah terus dilakukan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Habibi berkata, IPD Kota Kinabalu mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah sepanjang 2019 apabila 1,235 kes direkodkan berbanding 1,430 kes pada 2018.
“Penurunan kes sebanyak 195 kes itu membabitkan 13.64 peratus, sekali gus menunjukkan penurunan yang amat membanggakan.
“Selain itu, sebanyak 950 atau 76.92 peratus berjaya diselesaikan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK