Oleh Wartawan BS
6 Februari 2020
KOTA KINABALU: Polis percaya suspek yang melepaskan tembakan sehingga mencederakan tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak, di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, semalam, masih bersembunyi dan berada di sekitar pulau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek terbabit yang mana dipercayai masih bersembunyi di kawasan Kampung Pondo, di pulau itu.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 30-an yang menaiki bot pam dipercayai melepaskan tembakan ke arah jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.
“Menurut beberapa saksi kejadian mengatakan suspek dari arah bot melepaskan lima ke enam das tembakan dipercayai menggunakan senapang laras panjang.
“Namun kita tidak dapat pastikan jenis senapang yang digunakan oleh suspek terbabit,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, sejak dari semalam lagi selepas kejadian itu, pihaknya terutama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan risikan dan pemantaun di lokasi kejadian bagi mengesan suspek terbabit sekali gus mengelak suspek daripada melarikan diri.
“Dengan elemen-elemen berkenaan, saya harap dalam tempoh terdekat ini, kita dapat kesan dan berkas suspek terbabit,” katanya.
Ditanya mengenai motif kejadian, Habibi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu dan kemungkinan kejadian itu bukan tembakan rambang.
“Mungkin motif lain yang kita masih belum pasti di antara mangsa dengan subjek (suspek) itu sendiri.
“Orang ramai tidak perlu risau kerana kejadian ini adalah terpencil dan sudah beberapa tahun kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Habibi berkata, semua mangsa yang juga warga tempatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian jam 7 semalam, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.
Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK