MAUT KE TEMPAT KERJA

KOTA KINABALU: Perjalanan seorang lelaki ke tempat kerjanya berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar sebuah kereta yang keluar simpang di Simpang Gleneagles, Jalan Coastal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Ag Azizi Badar, 26, yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian tubuhnya.

Pemandu Grab Perodua Bezza lelaki berusia 62 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dari rumahnya di Penampang menuju ke tempat kerja di sebuah premis di Centre Point.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dari Jalan Wisma Budaya menuju ke Hospital Gleneagles untuk menghantar penumpang ke kawasan berkenaan.

“Ketika itu, pemandu Perodua Bezza keluar simpang menuju ke Hospital Gleneagles, tiba-tiba motosikal dipandu mangsa yang datang dari jalan utama (lurus) terlanggar bahagian sisi kiri kereta sebelum terhempas ke atas bumbung kereta dan terjatuh di atas jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.