LABUAN: Empat kapal dari China ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan turut menahan dua lelaki warga China masing-masing berusia 55 tahun.
Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kapal-kapal dari China itu dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut.
“Semua kapal berkenaan dikendalikan dan dijaga oleh dua lelaki warga China sebagai penjaga bagi keempat-empat kapal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keempat-empat kapal ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Amaran kepada semua komuniti maritim bahawa APMM tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK