KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan saja dibelasah lima lelaki, malah turut dibakar sehingga menyebabkan badannya melecur 35 peratus selepas ditangkap kerana mencuri wayar tembaga di Kampung Rampayan Jati, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dia bersama seorang lagi rakannya sedang mencuri wayar tembaga dalam motor elektrik mesin basuh terpakai yang dilonggokkan di belakang gerai kampung berkenaan.
Bagaimanapun mangsa ditangkap oleh seorang lelaki lalu dibawa menemui pemilik mesin basuh berkenaan manakala rakannya berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa kemudian dibelasah oleh lima lelaki yang tidak dikenali kerana enggan memberitahu rakannya yang melarikan diri itu.
“Lelaki yang menangkap mangsa itu kemudian bertindak menyimbah petrol lalu mengacah-acah dengan pemetik api dan tiba-tiba menyala dan menyambar mangsa.
“Semua lelaki yang melihat kejadian itu segera membantu memadam api pada badan mangsa dan memberi rawatan sebelum menghantar mangsa pulang ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, abang mangsa yang melihat adiknya dalam keadaan melecur kemudian membuat laporan polis.
“Bertindak atas laporan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan tiga lelaki disyaki terbabit memukul mangsa.
“Siasatan kes ini masih lagi diteruskan dan usaha mengesan seorang suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK