DUA MAUT, SEORANG PARAH KEMALANGAN

KOTA KINABALU: Dua maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Kepayan, berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Suhaidi Wahid, 35, dan Miarah Lawi, 65, manakala seorang lagi mangsa lelaki yang belum diketahui maklumatnya parah.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.28 pagi.

“Sepasukan anggota yang diketuai
PBK II
Zainuddin Saidi kemudian tiba di lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati ada tiga orang yang iaitu dua lelaki dan seorang wanita terperangkap dalam kenderaan.

“Kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback terbabit dipercayai tebabas sendiri ke bahu jalan sehingga menyebabkan kerosakan teruk.

“Dua daripada mangsa yang terperangkap kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi yang parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata kenyataan itu.