KOTA KINABALU: Dua dalang utama kepada sindiket pengedaran dadah berjaya diberkas polis dalam serbuan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu, ditahan bersama bekalan dadah jenis syabu seberat 1,050 gram yang dianggarkan bernilai RM42,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek bertindak cuba melarikan diri namun tindakan pantas pasukan polis berjaya mengagalkannya.
Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan urusniaga jualan dadah berkenaan.
“Modus operandi yang digunakan adalah kedua-dua suspek akan mendapatkan bekalan dadah sebelum berperanan sebagai orang perantaraan.
“Hasil siasatan mendapati setiap transaksi yang berjaya dijalankan, kedua-dua suspek akan menerima habuan sebanyak RM500 bagi setiap satu kilogram syabu yang dijual,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Sehubungan itu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan ini adalah hasil risikan dan maklumat awam terhadap sarang penagihan dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
Katanya, hasil daripada kejayaan ini, pihaknya akan menjalankan tindakan selanjutnya bagi mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket yang wujud.
“Usaha membanteras kegiatan jenayah narkotik ini akan diteruskan dan diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah Kota Kinabalu.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan segera,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK