Motosikal bertembung, calon SPM maut

KOTA BHARU, 11 Mac — Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain di Jalan Pengkalan Chepa di sini, pada jam 3 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian terbabit berlaku apabila mangsa tidak menyedari sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja perempuan melawan arus.

Menurutnya, Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100B dari arah Pengkalan Chepa ke Kota Bharu di lorong kiri akhirnya bertembung dengan motosikal terbabit.

“Rentetan dari kejadian terbabit, mangsa mendapat kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala remaja perempuan yang berusia 15 tahun itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),”katanya ketika ditanya pemberita.

Sehubungan itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.