SANDAKAN, 10 Mac — Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana dipercayai menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran di kawasan laut Pulau Pemaguan, di sini semalam.
Menurut Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan Sabah, Deputi Superintendan Rusdin Banin pasukannya telah mengesan pergerakan sebuah kapal jongkong dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barang kawalan termasuklah minyak diesel, minyak petrol, minyak masak dan tong gas LPG.
Sehubungan itu, Rusdin berkata lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa keluar barang kawalan tersebut.
“Semua rampasan termasuk kapal dianggarkan bernilai RM28,177 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PPM Wilayah Empat Sabah amat menggalakkan masyarakat persisir pantai khususnya untuk melaporkan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang menerusi aplikasi WhatsApp Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.
TAMAT

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK