COVID-19: Sabah catat 40 kes baharu hari ini

KOTA KINABALU, 27 April — Keadaan jangkitan COVID-19 di Sabah secara keseluruhan terus bertambah baik dengan jumlah sebanyak 40 kes hari ini iaitu penurunan sebanyak 11 kes berbanding semalam (51).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Keningau menjadi daerah tunggal di Sabah yang mencatat kes baharu dua angka dengan 10 kes yang mana sembilan (9) daripada jumlah tersebut melibatkan OKT (Orang Kena Tahan).

Manakala, daerah Kota Kinabalu yang mencatat kes dua angka semalam kini hanya mencatatkan enam (6) kes baharu iaitu penurunan sebanyak tujuh (7) kes.

Secara keseluruhan, sebanyak 13 daerah daripada 27 daerah di Sabah tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu manakala 13 daerah lain merekodkan kes baharu satu angka.

Dalam jumlah tersebut, seramai 37 orang daripada 40 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 masing-masing merekodkan satu kes.