LELAKI HADIR TEMUDUGA PEMILIHAN KONSTABEL POLIS DITANGKAP SELEPAS UJIAN SARINGAN AIR KENCING POSITIF DADAH

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU:  Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang hadir sesi temuduga pemilihan konstabel polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ditangkap setelah ujian saringan air kencingnya positif dadah jenis Ganja pada hari Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah memberitahu dalam sidang media semasa menghadiri majlis pembaharuan lesen pistol 2019/2020 di dewan serbaguna IPD Tawau pada hari Jumaat.
Saspek tersebut ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) dan tidak boleh  meneruskan  temuduga yang sedang dijalankan, kata Omar.

Omar berkata ketika disiasat saspek mengaku telah mulai terlibat penyalahgunaan dadah sejak 2018 dan juga memberitahu polis dia menghisap ganja lima kali dalam satu minggu dan memperolehi bekalan dari pengedar di Kota Kinabalu dengan harga RM 50 satu paket.

Penahanan saspek berkenaan oleh polis Tawau bukan yang pertama kerana sebelum ini terdapat juga kes seumpama yang pernah berlaku, kata Omar.

Sehubungan dengan itu, Omar menasihati individu-individu yang memohon jawatan dalam Polis Diraja Malaysia supaya memastikan mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod kes jenayah.

Turut hadir semasa sidang media ialah Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas.