Pemandu (kiri) dan van yang sarat dengan muatan minyak petrol ditahan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin telah berjaya menahan 1 buah van yang sarat dengan muatan minyak petrol di sebuah jeti pemunggahan yang tidak diwartakan di sini kelmarin.
Komander Polis Marin Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali berkata, pemandu van sedang sibuk memunggah petrol yang dipercayai hendak diseleweng semasa pasukan polis marin melakukan serbuan di kawasan jeti tersebut pada jam 9.00 pagi.
Hasil pemeriksaan dalam ruangan kenderaan tersebut terdapat lebih kurang 20 jerikin yang diisi 25 liter minyak petrol setiap satu (jerikin), kata Mohamad Pajeri.
Pemandu merupakan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun telah ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan membawa minyak daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM16,240, tambah beliau.
Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan selanjutnya, katanya lagi.
Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM 1 juta untuk perseorangan dan penjara tiga tahun, kata Mohamad Pajeri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK