LELAKI GUNA PAM BOT UNTUK SELUDUP MINYAK PETROL KE NEGARA JIRAN DITAHAN POLIS MARIN

Saspek (tengah) dengan minyak petrol dan enjin pam yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin Semporna

Oleh Faizal Rahman

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin Semporna  berjaya menahan sebuah pam bot yang sarat dengan muatan minyak petrol dipercayai hendak diseludup ke sebuah negara jiran dalam satu operasi kelmarin.

Hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM) sebuah perahu yang beroperasi menggunakan enjin pam sedang melalui kawasan laut Pulau Bodgaya Semporna telah  ditahan dalam perjalanan menuju ke Filipina pada jam 6.00 pagi, kata Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali.

Menurut Mohamad Pajeri, pemeriksaan dalam ruangan perahu tersebut telah menemukan lebih kurang 18 jerikin muatan minyak petrol yang diisi dalam jerikin bersaiz 25 liter disyaki hendak diseludup ke negara jiran Filipina.

“Juragan yang merupakan satu lelaki warga Filipina berusia lingkungan 60an tahun turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan membawa minyak daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP). Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,836,” katanya lagi.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya, tambah beliau.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM 1  juta untuk perseorangan dan penjara tiga tahun, atau kedua-duanya,” kata Mohamad Pajeri.