Juragan (kanan) ditahan bersama barang-barang kawalan di Tawau
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Sebuah jongkong tempatan yang disyaki membawa barang-barang kawalan telah ditahan oleh Polis Marin Tawau semasa “Ops Gelora Khas” di kawasan Kuala Sungai Log Pond kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Sabah, ACP Haji Mohamad Pajeri Ali berkata, “Jongkong yang dijuragani seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun itu ditahan semasa sedang bergerak keluar dari Sungai Log Pond pada kira-kira jam 5.30 petang hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM).
“Juragan beserta jongkong diarahkan ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan rapi anggota Polis Marin telah menemukan sebanyak 9 kotak (berisi 17 pek x 1kg) minyak masak cap Bunga Ros, 51 kotak (berisi 17 pek x 1kg) minyak masak cap Kapal dan pemeriksaan seterusnya turut menjumpai 55 bungkus (12 pek x 1kg) gula pasir cap Gula Prai,” kata Mohamad Pajeri.
Walaubagaimanapun juragan jongkong telah gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesemua barang-barang kawalan yang dibawanya, tambah beliau.
Menurut Mohamad Pajeri, kesemua barang kawalan tersebut disyaki cuba diseludup keluar dari negara ini untuk dipasarkan ke Indonesia.
Rampasan minyak masak, gula pasir, dua unit enjin 40 HP dan sebuah jongkong dianggarkan berjumlah RM62,497. Juragan berserta jongkong dan barang-barang rampasan ditahan kerana telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, katanya lagi.
“Kes diserahkan kepada pihak KPDNHEP Tawau untuk tindakan dan siasat lanjut,” kata Mohamad Pajeri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK