Bot pam bersama alat mengebom ikan beserta ikan yang ditahan oleh APMM Semporna
Oleh Faisal Rahman
SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna berjaya menyekat aktiviti mengebom ikan oleh sekumpulan individu selepas bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot pam bersama alatan mengebom ikan beserta ikan di perairan Semporna pada pagi hari Ahad.
Pengarah APMM Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rutin telah menahan bot pam berkenaan berhampiran perairan Pulau Bait, Semporna sekitar jam 9.00 pagi.
“Anggota-anggota penguatkuasa cuba menahan bot pam itu selepas mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan namun begitu bot pam bertindak melarikan diri apabila ternampak bot anggota penguatkuasa,” kata Norrimi.
Anggota-anggota penguatkuasa telah mengejar bot tersebut dan berjaya menahan bot pam di sekitar perairan paya bakau namun begitu 2 orang awak-awak bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke dalam hutan paya bakau, katanya lagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot pam mendapati terdapat alatan mengebom ikan bersama lebih kurang 3 kg ikan disyaki di bom,” kata beliau.
Berdasarkan rekod kes ini merupakan kes tangkapan yang kedua oleh APMM Semporna pada tahun 2019. APMM Semporna akan terus komited untuk membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna, tambah Norrimi.
Katanya lagi, bot pam bersama hasil rampasan termasuk bot, bom, ikan dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 5,000 telah ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurut beliau lagi, APMM Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.
Norrimi meminta orang ramai untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke APMM Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK