APMM TAHAN BOT PAM BERSAMA ALAT MENGEBOM IKAN DI SEMPORNA

Bot pam bersama alat mengebom ikan beserta ikan yang ditahan oleh APMM Semporna 

Oleh Faisal Rahman

SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna berjaya  menyekat aktiviti mengebom ikan oleh sekumpulan individu  selepas  bot peronda Maritim Malaysia  berjaya  menahan  sebuah  bot pam bersama alatan mengebom ikan beserta ikan di perairan Semporna  pada pagi hari  Ahad.

Pengarah APMM Semporna,  Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rutin  telah menahan bot pam  berkenaan  berhampiran perairan Pulau Bait, Semporna sekitar jam 9.00 pagi.

“Anggota-anggota penguatkuasa cuba menahan bot pam itu selepas mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan namun begitu bot pam bertindak melarikan diri apabila ternampak bot anggota penguatkuasa,” kata Norrimi.

Anggota-anggota penguatkuasa telah mengejar bot tersebut dan berjaya menahan bot pam di sekitar perairan paya bakau namun begitu 2 orang awak-awak bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke dalam hutan paya bakau, katanya lagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pam mendapati terdapat alatan mengebom ikan bersama lebih kurang 3 kg ikan disyaki di bom,” kata beliau.

Berdasarkan rekod kes ini merupakan kes tangkapan yang kedua oleh APMM Semporna pada tahun 2019. APMM Semporna akan terus komited untuk membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna, tambah Norrimi.

Katanya  lagi,  bot pam bersama hasil rampasan termasuk bot, bom, ikan dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 5,000 telah  ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurut beliau lagi, APMM Semporna akan terus meningkatkan  rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Norrimi meminta orang ramai untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan  ke  APMM Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.