AADK TAHAN 88 INDIVIDU TERBABIT DADAH

KOTA KINABALU: Seramai 88 individu positif dadah ditahan dalam operasi ‘Ops Enforcement’ yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula 22 hingga 24 Jun lalu.

Operasi berkenaan dijalankan membabitkan empat daerah antaranya Kota Kinabalu, Tawau, Wilayah Persekutuan Labuan dan Keningau.

Antara kawasan yang diserbu adalah Tanjung Batu, Merotai dan Balung di daerah Tawau, Kampung Luagan, Patikang dan Tuarid Taud di Keningau, Bukit Kuda dan Sungai Bedaun di Labuan serta Likas, Inanam dan Penampang di ibu negeri.

Pengarah AADK Negeri Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, operasi selama tiga hari itu dijalankan di kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai lokasi aktif penagihan dadah.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk tindakan penagih yang bertindak kasar dan cuba meloloskan diri dari ditahan.

“Dalam salah satu operasi, terdapat dua orang ibu yang bergaduh sesama sendiri kerana cuba mempertahankan anak masing-masing dan mendakwa terbabit dalam aktiviti dadah kerana pengaruh rakan.

“Kedua-dua ibu terbabit terpaksa ditenangkan anggota AADK bagi meleraikan pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 51 tahun dan akan direman untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983 kerana disyaki penagih dadah.

Sehubungan itu, Abdul Hamediee berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pejabat AADK Negeri Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *