DUA TOKAN DADAH DICEKUP

KOTA KINABALU: Dua lelaki dipercayai tokan dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Serbuan secara serentak itu dijalankan di sebuah premis perniagaan di Lorong Inanam 3, di sini, dan di sebuah rumah di Taman Seri Indah, Jalan Sepanggar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil risikan yang dijalankan polis mendapati, kedua-dua individu berusia 19 dan 22 tahun terbabit aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Katanya, modus operandi yang digunakan kedua-dua suspek hampir sama iaitu mendapatkan bekalan daripada orang tengah sebelum diasingkan dalam paket kecil untuk dijual.

“Salah seorang daripada individu yang ditahan adalah rakyat tempatan manakala seorang lagi warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Dadah yang berjaya dirampas daripada tangkapan adalah sebanyak 102.45 gram jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10,245 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas sebuah van Toyota Lite Ace, sebuah motosikal Yamaha 125Z, telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hasil ujian saringan air kencing pula mendapati hanya seorang saja daripada suspek positif dadah jenis methaphetamine.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

“Bagi suspek yang positif, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Habibi berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Sementara itu, Habibi menegaskan kejayaan tangkapan kali ini adalah berdasarkan maklumat awam dan risikan terhadap sarang penagih penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dadah dapat dibendung.

Katanya, kejayaan tangkapan ini juga membuka peluang kepada polis untuk mengenalpasti ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di daerah ini.

“Polis akan sentiasa memperhebatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah demi kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat di daerah ini.

“Orang ramai juga dialu-alukan supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik untuk membanteras kegiatan ini dengan berkesan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *