Ada tuduhan beri RM400 untuk beli undi di PRN Melaka

Bersatu sedang mengumpul bukti mengenai pertuduhan bahawa terdapat aktiviti membeli undi yang berlaku pada pilihan raya negeri di Melaka, kata ketua penerangannya Wan Saiful Wan Jan.

“Secara spesifiknya, tuduhan itu ialah para pengundi diberikan RM400 sebagai sogokkan untuk mengundi calon-calon tertentu di DUN-DUN Bemban, Rim, Tanjung Bidara, Pantai Kundor, Duyong, Gadek, Ayer Limau dan Rembia.

“Saya belum mendapat maklumat jika membeli undi ini berlaku di DUN lain.

“Saya telah mengarahkan agar jentera kami mengumpulkan bukti yang lebih jelas agar laporan dapat dibuat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bersatu meletakkan calon di bawah bendera Perikatan Nasional bagi setiap kerusi yang disebut oleh Wan Saiful kecuali di Duyong, yang menyaksikan PAS mewakili PN.

Wan Saiful berkata politik wang adalah budaya politik yang buruk dan mereka yang menaburkan wang untuk membeli kemenangan, sebenarnya merompak wang untuk diri sendiri sahaja.

“Saya yakin rakyat negeri Melaka tidak akan tertipu dengan usaha membeli undi sebegini.

“Mari kita hentikan politik wang,” katanya sambil mengajak rakyat negeri Melaka membina budaya baru berteraskan integriti bersama PN.

Pengundian akan berlangsung esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *