Bersatu, PAS tinggalkan mesyuarat depan PM antara punca rundingan gagal

Seorang pemimpin kanan Umno hari ini mendedahkan rundingan pembahagian kerusi di Melaka dengan Perikatan Nasional (PN) digagalkan oleh syarat tidak munasabah sehingga membawa kepada masalah besar.

Selain itu Abdul Rahman Dahlan mendedahkan, dalam salah satu rundingan tersebut wakil Bersatu dan PAS meninggalkan bilik mesyuarat sebelum perbincangan tamat.

“Mereka keluar, walk out, meninggalkan Umno bersendirian di dalam bilik mesyuarat,” katanya.

Tambah Abdul Rahman wakil Bersatu dan PAS bertindak sebegitu walaupun mesyuarat berkenaan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.ADS

“Saya tengok tidak ada penghormatan diberikan kepada perdana menteri yang mempengerusikan mesyuarat, dan wakil-wakil itu bingkas bangun dan terus keluar dari bilik mesyuarat walaupun mesyuarat belum lagi selesai,” katanya.

Menurut anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu lagi PN juga meletakkan syarat yang tidak dapat diterima seperti tidak akan membenarkan Umno meletakkan ramai calon sehingga memungkinkan parti itu membentuk kerajaan secara bersendirian.

Kata Abdul Rahman penegasan tersebut dibuat sendiri oleh Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu ketika rundingan dijalankan pada 27 Okt lalu.

“Alasan beliau ialah Umno mungkin tidak akan memberikan jawatan exco, ahli majlis dan ketua kampung kepada Bersatu dan PAS,” katanya dalam kenyataan video dimuat naik di media sosial hari ini.

Jauh dari fakta sebenar

Abdul Rahman yang turut terlibat dalam rundingan berkenaan menambah kebimbangan PN itu sepatutnya tidak timbul kerana Umno bersedia memasukkan butiran tersebut dalam perjanjian bertulis.

Syarat kedua pula, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, Bersatu mahu menentukan siapa calon ketua menteri dari Umno.

Kedua-dua syarat berkenaan, menurutnya, tidak boleh diterima oleh Umno.

“Kami ini datangnya dari Umno, dan biarlah Umno yang menentukan siapa calon ketua menteri dalam PRN Melaka ini,” katanya.

Beberapa hari lalu Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa rundingan pembahagian kerusi di antara PN dan BN gagal kerana sikap parti tertentu yang mahu menjadi ‘Abang Long’.

Semalam menteri besar Terengganu itu sekali lagi menegaskan dakwaan berkenaan, namun percaya Umno dan PAS berpeluang berbaik-baik semula jika watak-watak yang dimaksudkannya itu sudah “tidak ada” lagi.

Abdul Rahman berkata dakwaan dibuat Ahmad Samsuri sebenarnya “jauh daripada fakta” sebenar.

Mengenai kehendak Bersatu agar Umno tidak bertanding di banyak kerusi, ia juga tidak boleh diterima berdasarkan kepada fakta.

“Umno tidak mahu berunding kerusi dengan hanya mengambil kerusi Melayu, kemudian dibahagi dua – sebahagiannya diberikan kepada BN, (manakala) sebahagian lagi kepada PN.

“Itu adalah formula yang tidak boleh diterima, dan pada saya sendiri, itu adalah formula yang menidakkan potensi terbaik untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut,” katanya.

Abdul Rahman berkata sepatutnya rundingan pembahagian kerusi di antara BN dan PN itu dibuat mengikut kekuatan parti dan ia juga digunakan oleh gabungan terbabit di Melaka.

Hal itu jelas, katanya, berdasarkan cara PN membahagikan kerusi dalam kalangan parti komponen mereka.

“Bersatu bertanding di 15 kerusi, PAS hanya diberikan lapan kerusi. Bermakna Bersatu bertanding dua kali ganda lebih banyak daripada PAS. Jadi tidak ada juga pengagihan kerusi sama rata.

“Kenapa dengan Umno pula syarat yg dikenakan ialah Umno dan PN mesti bertanding hampir sama rata walaupun semua orang mengakui Umno mempunyai kekuatan jentera, keahlian dan cawangan yang jauh lebih besar daripada parti2 lain? katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *